Wednesday, March 25, 2009

Tragedi Dungon.

Hari ni aku nak sambung kisah abah,sebagaimana yang telah di ceritakan oleh abah untuk aku kongsikan bersama yang sudi membacanya.
Pada zaman sekitar tahun 60 an,perjalanan dari kampung abah untuk ke K.Trengganu mengambil masa yang agak panjang.Adakalanya terpaksa bermalam di rumah kawan atau sedara mara di Kuantan.Keesokkan hari barulah menyambung semula perjalanan.

Ketika itu perkhidmatan bas telah pun ada,tetapi jambatan yang merentangi setiap sungai masih belum dibina seperti hari ini.Oleh itu, untuk menyeberangi sungai maka perkhidmatan feri digunakan.Disebabkan ferinya tidaklah sebesar feri di P.Pinang,maka hanya dua kenderaan sahaja yang dibenarkan menyeberangi bagi setiap satu perjalanan.

Dari kampung abah di Raub,abah akan menaiki bas ke Jerantut kira kira 60 km.Kemudian menaiki bas express terus ke Kuantan melalui Jalan Jerantut-Maran-Kuantan.(sekarang kalau dari Raub,perjalanannya Raub-Bentong-Temerloh-Maran-Kuantan)tapi lebih jimat masa.
Waktu itu jalannya kurang cantik dan cukup menyeksakan,ketika itu juga masih belum wujudnya Gugusan Felda Jengka.Dari Jerantut,abah akan menaiki feri pertama di Jerantut Feri dan melalui kawasan kampung dan hutan yang menghijau.Perjalanan tersebut sejauh lebih 140km.(mungkin lebih).Abah akan menaiki feri kedua sebelum sampai ke Kuantan ialah di Tanah Putih,iaitu berdekatan Giant sekarang.

Begitulah seterusnya abah akan mengambil bas ke Kemaman,dan akan menaiki bas express Kemaman-K.Trengganu.Sepanjang perjalanan itu abah terpaksa menyeberangi 5 buah sungai lagi untuk menyampai ke K.Trengganu.(bererti 5 kali jugalah abah menaiki feri) ,iaitu di Kemaman,Kemasik,Paka,Dungon dan K.Ibai.Begitulah payahnya untuk menuju ke destinasi pada zaman itu,mujurlah penggunaan kereta persendirian tidak banyak seperti sekarang.Saya rasa ada yang berkhemah,nak tunggu giliran naik feri.

Pada tahun 1959,sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadhan,abah telah meninggalkan K.Trengganu untuk pulang bercuti ke kampung.Seperti biasa abah mengambil bas express K.Trengganu-Kemaman.Menurut abah,ketika itu telah pun ada tiket bernombor seperti sekarang.Oleh kerana abah gemar duduk di bahagian tengah bas jadi dia dengan sesuka hati mengambil tempat tanpa merujuk nombor kerusi tersebut.Kemudian naik seorang makcik yang memohon untuk duduk ditempat itu sambil menunjukkan tiketnya yang bernombor 14.Abah mengeluarkan tiketnya dan sah,dia perlu mengambil tempat di kerusi nombor 4 dan dia beralih ke hadapan berdekatan pintu bas.

Perjalanan berjalan seperti biasa,di sebelah abah duduk seorang makcik,meriba anaknya berusia dalam 3 tahun.Sesekali dia menarik narik baju abah,tapi dengan segera anaknya ditegur oleh ibunya"jangan kacau abang".Abah hanya senyum pada budak tu, abah tergerak hati nak pangku budak itu,tapi abah segan.

Akhirnya bas tiba di Dungon dan akan memasuki feri untuk menyeberangi Sungai Dungon.Di atas feri telah ada sebuah kereta dan bas akan mengambil tempat di belakang kereta.Laluan masuk dari jeti ke arah feri memang agak curam.Tidak tahu dimana silapnya,bas tersebut seperti hilang kawalan sewaktu memasuki ruang dalam feri.Ia meluncur laju,dan mencemaskan semua penumpang,dengan jeritan dan raungan suara yang menggegarkan suasana sepi itu,abah sempat melompat keluar dari pintu bas yang memang menganga.Abah dapat melihat dengan jelas bagaimana bas itu merempuh kereta di hadapan menyebabkannya terjunam terus ke dalam sungai bersama bas itu.Ya!Allah,suara jeritan dan raungan manusia bergema meminta tolong,dan abah lihat sendiri bagaimana bas itu menjunam masuk ke dalam sungai dengan hadapannya menegak terus ke dalam sungai.Air masuk dengan cepatnya melalui tingkap bas.Bloooop!Blooooop! bunyi air yang membuak buak dan terjahan air yang deras menghilangkan segala jeritan dan teriakkan mengerikan itu bersama tenggelamnya bas tersebut.

Suasana yang berlaku dengan pantas membuatkan abah hanya mampu meraung.Perasaannya bercampur baur,hiba,sedih,bingung,terkejut,keliru dan terkedu.Menurut abah,dia hanya melihat pemandangan di dalam sungai yang berkaparan dengan mayat dan barang barang penumpang yang timbul di permukaannya. Ada juga penumpang lelaki yang berjaya meloloskan diri melalui tingkap bas dan berenang ke tepi,tetapi tidak ramai.Orang ramai membanjiri kawasan tersebut seperti ada pesta.

Apa yang membuatkan abah rasa semakin tertekan apabila pihak penyelamat menaikkan penumpang yang lemas dalam kejadian itu.Jenazah mereka di bawa naik satu persatu,cukup mengharukan bila abah melihat jenazah makcik yang duduk disebelah abah berpelukan dengan anaknya.Ya!Allah,dia rasa macam nak pitam,dia kesal kerana tidak dapat menyelamatkan budak tu.Akhirnya semua jenazah berjaya di bawa naik dan disahkan tragedi di Dungon itu meragut 23 nyawa.5 penumpang kereta dan18 penumpang bas.

Sebuah kapal korek di bawa masuk untuk membawa keluar bas yang tenggelam itu.Semua barang barang yang terselamat di bawa ke Balai Polis Dungon,dan abah juga terpaksa bermalam di balai.Abah di antara orang yang terselamat dan melihat sendiri bagaimana peristiwa itu berlaku,ini menyebabkan abah tidak henti henti di minta memberikan maklumat kepada 'polis'dan 'press'.Menurut abah terlalu ramai orang yang menyoal membuatkan dia menjadi terlalu letih dan tidak bermaya.Menurut abah lagi,sebelum kejadian berlaku,orangramai mendakwa melihat buaya putih dalam sungai tersebut.Abah tidak dapat memberi alasan dan hanya mengatakan hanya Allah yang mengetahui.

Keesokkannya abah meneruskan perjalanan ke kampung.Di rumah,orang ramai membaca yassin kerana menyangkakan abah telah menjadi mangsa tragedi itu.Seluruh kampung gempar bila mendapati abah telah pulang,dan keluarga abah menyambutnya dengan tangisan dan kesyukuran.Selepas kejadian itu abah kerap menjerit jerit sewaktu tidur,tragedi itu menjadi trauma dalam hidupnya.Berbulan bulan jugalah abah sentiasa di bayangi mimpi ngeri...Dan akhirnya abah pulih jua.Tragedi ini jualah yang telah membunuh cita cita abah dan dia terpaksa menguburkan hasratnya untuk menerima tawaran pengajian ke Mesir kerana tidak mendapat keizinan orang tuanya.Bagi mereka abah seperti mati hidup semula.

2 comments:

Nurulhana Hussain said...

Wah..itu adalah pengalaman yang amat berharga kerana dapat menyedarkan kita tentang erti hidup agar kita berterusan menghargai anugerah kehidupan ini.

Kak Hana nak tanya Hai, Huda kat Iskandariah ambil medicine ke? Could you ask her if she knows in terms of medical programme, which U is better, Iskandariah or Al Mansoura (mancester prog)? Nuha needs to decide before the end of the month. Thanks.

hai said...

Huda ambil syariah,dia kata medic ni bkn di bwh Al-Azhar.Dia tak tau yang mana terbaik tapi dia bgtau Al Mansoura tu kat area kampung,tepi Sg.Nil.Iskandariah tu bandar persisiran pantai.Bagi dia,dia suka dok kat Iskandariah.Terpulang pada pandangan Kak Hana...cuba tanya org lain plak.